Salam ceria sahabatku,
Rasanya masih tidak terlambat untuk saya ucapkan “SELAMAT HARI RAYA KORBAN“. Macam mana Raya? Ada buat korban ker?
Alhamdulillah pada Ahad lepas (6 Nov) surau di tempat saya iaitu Surau Ar-Raudhah di Apartment Permai Villa, Taman Puchong Permai telah mengadakan sambutan Hari Raya Qurban 1432H @ 2011. Sebanyak 5 ekor lembu telah disembelih.
Alamak… risau juga macam mana la nak tumbangkan 5 ekor lembu tu nanti. Dengar ustaz kata, kita kena berhati-hati dengan lembu-lembu korban tu supaya semasa dijatuhkan nanti ia tidak mencederakan dan tidak merosakkan anggota badannya.
Maksudnya jangan sampai patah kaki, cedera badan dan sebagainya. Sebab kalau berlaku demikian, binatang korban tersebut dikira tidak sah. Al-maklumlah amanah peserta korban perlu juga dijaga agar korban dapat dilaksanakan dengan penuh sempurna.
Inilah antara lembu yang akan dikorbankan.
Tengok dinding tepi tu… saya risau dinding tu boleh mencederakan lembu sebab ia tentu akan meronta-ronta dan melanggar tembok tu nanti.
Tapi Alhamdulillah… Tn. Hj. Ramli (saya panggil ‘otai lembu’) menunjukkan skil menumbangkan lembu.
Beliaulah satu-satunya orang yang arif tentang operasi lembu ni. Cara tumbangkan lembu yang sebenarnya.. mudah dan cepat.
Alhamdulillah lembu tak cedera, langsung tak langgar tembok belakang tu.
Dari pengalaman dengan Tn. Hj. Ramli tempohari, saya dapat tips nak tumbangkan lembu dengan cara mudah, cepat dan selamat (untuk lembu & manusia):
- Leher lembu diikat di tiang/pokok ( tali jangan terlalu pendek – panjang tali boleh dilaras supaya tak menjerut lehernya. Lembu yang terjerut boleh mencederakan)
- Ikat kaki belakang sebelah kiri dahulu. Sebelah kanan pun boleh (pilih salah satu sahaja samada kiri @ kanan). Pegang @ ikat pada tiang/pokok agar lembu tidak dapat bergerak ganas. Tujuannya untuk senang nak ikat kaki depannya pula nanti.
- Ikat kaki depan sebelah kanan (kalau kaki belakang ikat sebelah kiri) – lawan kaki depan & belakang. Tali pengikat kaki kanan tersebut disilangkan arah kiri melalui bawah badan lembu. (boleh pegang terus tali – tak perlu ikat.)
- Tarik serentak pada tali pengikat kaki belakang dan tali depan tadi.
- Lembu akan terus jatuh.
Kemudian, untuk disembelih pegang kepada lembu dengan kuat ke tanah dan boleh ikat kaki depan dan belakang lembu.
Siap… boleh sembelih.
Tn. Hj. Ramli juga pakar dalam membedah lembu. Kalau tak betul cara boleh rosak (hancur) daging lambu tu… katanya.
Yang ini saya belum belajar lagi… InsyaAllah tahun depan saya nak korek rahsia ni pula…hehehe.
Kaum ibu pun sibuk dengan tugas memotong dan menimbang daging.
Sup segar tulang lembu… gearbox power!
Masakan pun dah siap, korban pun dah selesai, kita makan-makan…
Terima kasih saya ucapkan semua penduduk dan petugas yang terlibat sepanjang acara korban.
InsyaAllah semoga tahun hadapan kita dapat mengadakannya sekali lagi dengan lebih meriah lagi.
Daripada: Zaki Yusof
Pengerusi Surau Ar-Raudhah, Permai Villa,
Taman Puchong Permai, Puchong,
Selangor.











